Kuala Lumpur: Situasi menang-menang untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia yang sekali gus memuaskan hati kedua-dua pihak.
Demikian kesimpulan pertemuan antara jaguh perseorangan negara itu dengan BAM hari ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sekali gus memberi petanda positif kedua-dua pihak menemui jalan penyelesaian mutlak yang bakal diumumkan pada minggu depan.
Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang BAM, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos ketika ditemui berkata, pertemuan dengan Zii Jia adalah selepas pemain ranking ketujuh dunia itu mengemukakan surat rayuan semalam.
“Kedua-dua pihak sudah sampai satu kesudahan yang akan diumumkan minggu depan, tapi yang pasti ia satu kesudahan memuaskan hati kedua-dua pihak dan satu kesudahan yang bagus untuk negara dan juga BAM.
“Cumanya ialah kami akan membawa hasil keputusan hari ini kepada ahli majlis BAM untuk mendapatkan pengesahan rasmi dan kemudian akan membuat pengumuman minggu depan,” katanya selepas bertemu Zii Jia, hari ini.
Jumaat lalu BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.
BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.
Jelas Jahaberdeen, sebelum ini BAM sememangnya tidak pernah ‘bermusuh’ dengan Zii Jia tetapi hanya mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkannya menyertai kejohanan antarabangsa.
“Kami mengambil tindakan selari dengan polisi persatuan. Tapi sekarang semua sudah OK sebab kita sudah melalui proses rayuan,” katanya.
Saiful Afendy Sapran (2022) Pertemuan BAM, Zii Jia beri tanda positif, my metro, 25 Januari, Available at : https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/01/803825/pertemuan-bam-zii-jia-beri-tanda-positif-metrotv (Accessed : 26 Jan 2022)
Recent Comments