Kuala Lumpur: Pasukan Singapura menjadi mangsa ‘amukan’ Malaysia apabila mereka tewas semua perlawanan menentang skuad negara dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam sebentar tadi.
Kemenangan 5-0 yang dicatatkan pasukan negara itu disumbangkan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia apabila menumbangkan juara dunia, Loh Kean Yew 21-6, 21-14 untuk mencatatkan mata pertama buat pasukan.
Pemain berusia 24 tahun itu, berkata kemenangan ke atas Kean Yew adalah permulaan baik untuk kerjayanya bagi menghadapi saingan musim ini.
“Saya sangat gembira dapat menyerap tekanan dalam perlawanan hari ini kerana saya sedar ini perlawanan yang dinantikan oleh semua peminat. Saya pun memang teruja untuk menentang Kean Yew.
“Saya cuba bermain tanpa mengikut emosi sebaliknya kekal tenang sepanjang perlawanan Saya gembira dapat menyumbang mata pertama kepada pasukan, ” kata Zii Jia ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Rentak kemenangan Zii Jia diteruskan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menyumbang mata kedua buat pasukan menerusi kemenangan ke atas Denny Bawa Chrisnanta-Wesley Koh Eng Keat 21-14, 21-12 sebelum perseorangan kedua, Ng Tze Yong kembali bangkit bagi memastikan kemenangan awal Malaysia hasil kejayaan menewaskan Jason Teh Jia Heng 17-21, 24-22, 21-19.
Beregu kedua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei meraih mata keempat selepas menundukan gandingan Terry Hee-Andy Kwek 21-10, 21-13 sebelum perseorangan ketiga, Leong Jun Hao melengkapkan kemenangan skuad negara menerusi kemenangan ke atas Joel Koh Jia Wei 21-17,22-20.
Malaysia dijadual bertemu Kazakhstan dalam aksi kedua Kumpulan B esok dan jika menang secara automatik layak ke separuh akhir sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.
Syazwan Msar (2022) Malaysia ‘mengamuk’ belasah Singapura, my metro, 16 Februari, Available at : https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/02/811040/malaysia-mengamuk-belasah-singapura (Accessed : 17 Feb 2022)
Recent Comments