by Harian Metro

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa melihat permainan yang ditampilkannya di atas gelanggang semakin baik dan berharap prestasi itu dapat diteruskan dalam kejohanan akan datang.

Jelasnya, dengan kehadiran ketua jurulatih perseorangan, Kenneth Jonassen, ia juga banyak membantu dirinya terus meningkat lebih baik daripada sebelum ini.

Pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 (BAMTC), Letshanaa diberikan peranan selaku pemain utama dan dirinya berjaya mencatat satu kemenangan daripada dua perlawanan peringkat Kumpulan B.

“Saya rasa permainan saya semakin berkembang dengan baik. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Jonassen, ia membantu permainan saya daripada segi mental dan beberapa perkara lain.

“Saya rasa, saya perlu memperbaiki lagi permainan dan saya perlu lebih konsisten dalam setiap permainan. Saya rasa ini salah satu perkara yang penting,” katanya.