by Harian Metro

Kuala Lumpur: Kemenangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di pusingan kedua Seluruh England malam tadi menyentuh hati peminat Malaysia selepas Pearly menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi meskipun kakinya terseliuh dalam perlawanan itu.

Malah, situasi yang terjadi di set kedua itu juga hampir membuatkan gandingan negara itu menarik diri dan perlu memberi kemenangan percuma kepada wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti, meskipun ketika itu pasukan perubatan seakan-akan memberi isyarat meminta membawa masuk kerusi roda.

Namun begitu, Pearly jelas menidakkan nasihat wakil perubatan itu dan membuktikan dirinya masih boleh bermain, apatah lagi saat itu Malaysia sedang mendahului 14-7 serta momentum berada di pasukan negara.

Tindakan memilih meneruskan perjuangan ternyata satu pilihan tepat meskipun wakil Indonesia cuba mengasak Pearly bertubi-tubi untuk mendapatkan mata, tetapi sistem pertahanan yang sangat kukuh serta bantuan dari Thinaah membuat mereka mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-14 dalam tempoh 42 minit.

Selain itu, Thinaah juga menunjukkan erti persahabatan jitu apabila dirinya memilih untuk menggendong pasangannya menuju ke bilik persalinan ekoran kecederaan buku lali, sekali gus membuatkan peminat semakin terharu dengan usaha itu.

“Kami sebagai penyokong hampir menitiskan air mata kerana bangga dengan semangat Pearly yang tetap bermain walaupun beliau dalam kesakitan,” kata Akhiruddin Yakup di ruangan komen Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Pemain macam ini yang buat ramai rasa bangga walaupun cedera, semangat nak teruskan permainan yang buat terharu. Respek Pearly. Tahniah Pearly-Thinaah, semangat yang jitu,” kata Nasri Asrey.

“Tahniah kepada Pearly Thinaah. Respek kepada kalian berdua. Pearly dengan semangat juang yang tinggi walaupun cedera dan Thinaah, kamu bagus dalam melindungi gelanggang,” kata Chua Sek Tiong.

“Tahniah. Persembahan yang sangat luar biasa. Saya doakan keajaiban untuk Pearly agar pulih sepenuhnya dari kecederaan buku lali yang teruk untuk perlawanan suku akhir (hari ini),” kata Piara Singh Dhillon.

Pada aksi suku akhir, Pearly-Thinaah akan bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, dan sudah pasti kemenangan diinginkan oleh Pearly sebagai hadiah buat sambutan ulang tahunnya pada hari ini.

Disiarkan pada: Mac 14, 2025 @ 12:19pm
Zulkafli, A. F. (2025c, March 14). Erti Persahabatan, pearly-thinaah sentuh hati peminat. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2025/03/1196812/erti-persahabatan-pearly-thinaah-sentuh-hati-peminat