Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai penampilan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Masters Indonesia yang bermula esok terjawab selepas dia disahkan akan turun beraksi selepas dihimpit masalah kecederaan belakang sebelum ini.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, Zii Jia sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk memulakan aksinya di Bali.
“Walaupun Zii Jia sebelum ini mengalami sedikit keletihan selepas mengharungi lima kejohanan berturut-turut namun dia dilihat bersemangat dan bersedia dari aspek mental dan fizikal,” kata Choong Hann.
Bekas perseorangan lelaki negara itu berkata, kecederaan yang dialami Zii Jia sebenarnya tidaklah serius dan selepas berehat beberapa hari dan melakukan proses pemulihan juara Seluruh England itu sudah bersedia untuk menyambung aksi.
“Keputusan ini juga mengambil kira perbincangan yang dilakukan antara semua pihak termasuklah Zii Jia dan jurulatih (Hendrawan).
“Apa yang dilalui Zii Jia sekarang adalah satu proses pembelajaran buat dia yang mana dia mengharungi jadual pertandingan yang padat. Bukan saja tahun ini tetapi dia juga akan melalui situasi sama tahun depan yang mana kalendar pertandingan juga padat,” kata Choong Hann.
Tambahnya, Zii Jia harus belajar bagaimana untuk menggunakan tenaganya dalam mengharungi pelbagai kejohanan dan belajar mengenai proses pemulihan dengan lebih berkesan.
“Ini boleh dianggap sebagai salah satu cabaran untuk dia menjadi pemain yang lebih bagus,” kata Choong Hann.
Sebelum ini, pemain kelahiran Kedah itu sudah menyertai lima kejohanan berturut-turut sepanjang September dan Oktober lalu bermula Piala Sudirman di Finland, Piala Thomas di Denmark, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo di Jerman.
Dia yang menduduki ranking nombor tujuh dunia terlepas peluang merangkul gelaran keduanya tahun ini apabila terpaksa menarik diri ketika aksi final Terbuka Hylo menentang Loh Kean Yew dari Singapura selepas mengalami kecederaan belakang.
Selepas Masters Indonesia, Zii Jia dijadual menyertai Terbuka Indonesia yang turut diadakan di Bali.
Dia juga hampir pasti akan membuat penampilan kedua dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF bulan depan yang juga berlangsung di Bali.
Dengan berbaki dua kejohanan lagi dalam kalendar Jelajah Dunia, Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, Zii Jia di kedudukan selesa bagi melayakkan diri ke kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.24 juta) itu apabila berada di ranking nombor satu.
Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh di Masters Indonesia akan membuka tirai kempen menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke di pusingan pertama.
Ferzalfie Fauzi (2021) Zii Jia sah beraksi di Bali, my metro, 15 November. Available at : https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2021/11/777740/zii-jia-sah-beraksi-di-bali (Accessed : 16 Nov 2021)
Recent Comments