Select Page

Kuala Lumpur: Juara beregu lelaki Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu lebih tenang dalam berdepan tekanan ketika bertarung di gelanggang pada mana-mana kejohanan disertai selepas ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata aspek itu antara kelemahan paling ketara perlu diperbaiki Wei Chong-Kai Wun biarpun mereka mampu bertahan dengan baik ketika berdepan asakan pihak lawan sebelum ini.

“Saya ternyata gembira dengan keputusan dicapai mereka namun masih banyak perlu diperbaiki khususnya ketenangan menangani tekanan.

“Kejayaan di India langkah awal untuk mereka naik ke peringkat lebih tinggi dan banyak yang perlu untuk mempersiapkan mereka capai peringkat atas,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Pada aksi final di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das, Ahad lepas, pilihan keenam kejohanan, Wei Chong-Kai Wun mengecewakan wakil tuan rumah Krishna Garaga-Vishnuvardhan Panjala 21-18, 21-15.

Rexy berkata pencapaian cemerlang dilakar di India membuka peluang kepada mereka untuk tersenarai sebagai beregu ketiga negara pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor dari 15 hingga 20 Feb, selepas pemenang pingat gangsa Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Izzudin-Sze Fei.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya perlu menilai prestasi memberangsangkan pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas mereka mara ke separuh akhir Kejuaraan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol, sebelum membuat keputusan berhubung gandingan yang layak mengisi tempat sebagai beregu ketiga negara pada BATC.

Bagi beregu wanita, beliau membayangkan juara Terbuka Swiss 2021, Pearly Tan-M.Thinaah serta juara Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 Anna Ching-Mei Xing berpotensi disenaraikan dalam kejohanan di Selangor itu.

Beliau berkata pihaknya juga sedang giat memberi tumpuan dalam memperbaiki kelemahan terutama pada beberapa kejohanan terakhir sebelum ini termasuk di Indonesia dan Eropah bagi memastikan skuad negara bersedia memberi cabaran sengit pada BATC.

Anna-Mei Xing yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, memerlukan 32 minit untuk mengesahkan takhta kejuaraan selepas menewaskan pasangan dari India Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-12, 21-13.

Bernama (2022) Wei Chong-Kai Wun perlu lebih tenang, my metro, 25 Januari Available at : https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/01/803908/wei-chong-kai-wun-perlu-lebih-tenang (Accessed : 26 Jan 2022)