Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann enggan mengangkat bendera putih walaupun skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, ia peluang terbaik untuk pemain wanita menimba pengalaman berharga pada kejohanan dwitahunan itu.

“Saya berharap hasil kerja keras dalam latihan sebelum ini mampu memberi kelebihan kepada barisan pemain negara untuk melakar kejutan ke atas dua pasukan gergasi itu nanti,” kata Choong Hann.

Menurutnya, skuad wanita negara sebenarnya sudah lama melakukan persiapan untuk menghadapi kejohanan ini.

“Malaysia memiliki S Kisona, Eoon Qi Xuan serta M Thinaah-Pearly Tan yang masih belajar serta mencari pengalaman. Saya tahu kita bukanlah pasukan terkuat dalam acara wanita tetapi kita akan usaha dan bekerja untuk tingkatkan prestasi masing-masing. Memang kita harap untuk pamer kejutan kali ini,” kata Choong Hann. Dalam pada itu, beliau percaya Kisona sudah menunjukkan banyak peningkatan menjelang kejohanan berkenaan selepas mengharungi musim 2021 yang agak suram. “Saya fikir dia semakin hampir untuk dapatkan prestasi terbaik kerana aksinya di dalam gelanggang sudah semakin stabil. Pastinya dia akan berusaha untuk sumbang mata kepada pasukan negara,” kata Choong Hann.

Skuad wanita negara menampilkan aksi terbaik pada edisi dua tahun di Manila, Filipina apabila melangkah ke pentas separuh akhir sebelum tewas 0-3 kepada Jepun. Menjelang aksi pembukaan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam esok, skuad wanita negara akan memulakan saingan Kumpulan Y dengan menentang Jepun.

Ferzalfie Fauzi (2022) Ayuh! Singkirkan Jepun, India, my metro, 14 Februari, Available at : https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/02/810275/ayuh-singkirkan-jepun-india  (Accessed : 15 Feb 2022)