Shah Alam: Skuad badminton negara terpaksa bergelut sebelum berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas juara bertahan, Jepun dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam sebentar tadi.

Dalam aksi Kumpulan Y itu Malaysia ketinggalan 0-2 kepada Jepun selepas dua perseorangan wanita, S Kisona dan Eoon Qi Xuan tumpas kepada lawan masing-masing.

Bagaimanapun, perseorangan ketiga, Siti Nurshuhaini Azman muncul penyelamat apabila memberikan mata pertama negara selepas menumpaskan Hina Akechi, diikuti dengan mata penyamaan disumbangkan gandingan bidan terjun, Valeree Siow-Pearly Tan sebelum satu lagi pasangan beregu Anna Cheong-Teoh Mei Xing menyumbangkan mata kemenangan.

“Alhamdulillah, saya dapat menyumbang satu mata kepada pasukan. Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi saya masih belum puas hati dengan permainan saya terutama di set kedua yang mana saya kurang sabar.

“Jadi, saya perlu perbaiki perkara itu dan membuat yang lebih baik apabila bertemu India, esok,” kata Siti Nurshuhaini selepas tamat perlawanan.

Kisona yang turun selaku perseorangan pertama ternyata gagal untuk memberi tandingan ke atas pemenang tempat ketiga Kejohanan Remaja Dunia 2015, Natsuki Nidaira 12-21, 16-21.

Harapan untuk melihat Qi Xuan menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila dia tumpas straight set kepada Riko Gunji 17-21, 17-21 dalam tempoh 33 minit. Selepas itu skuad wanita negara berjaya memperoleh mata penyelamat apabila Siti Nurshaini berjaya mencatat kemenangan 21-16, 22-20 ke atas Akechi.

Valeree-Pearly yang digandingkan pada saat akhir berjaya menumpaskan Rui Hirokami-Yuna Kato 24-22, 21-18, sebelum itu skuad wanita negara tersentak apabila gandingan asal Pearly, M Thinaah diuji positif Covid-19.

Gandingan Teoh Mei Xing-Anna Cheong memastikan kemenangan menjadi milik skuad negara apabila menyumbang mata ketiga dengan menundukkan Akechi-Gunji 21-12, 21-5.

Ferzalfie Fauzi (2022) Malaysia bangkit atasi Jepun, my metro, 15 Februari, Available at : https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/02/810672/malaysia-bangkit-atasi-jepunĀ  (Accessed : 16 Feb 2022)