Select Page

Shah Alam: Pasukan badminton wanita negara berjaya menempah tiket ke separuh selepas menewaskan India 3-2 di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 dekat Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam, sebentar tadi.

Kejayaan itu turut melayakkan pasukan wanita negara menempah tiket untuk beraksi di Piala Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

Pada perlawanan pertama menyaksikan perseorangan utama negara, S Kisona menerima tentangan sengit pemain ke-56 dunia Aakarshi Kasyap untuk mengheretnya ke perlawanan penentuan.

Namun, berbekalkan pengalaman yang ada Kisona bijak manfaat kelemahan pihak lawan sekali gus berjaya menyumbang mata pertama untuk negara dengan kemenangan 21-16 18-21 21-16.

Kemenangan itu jelas sekali meniup semangat beregu negara, Pearly Tan-Valeree Siow yang turun pada perlawanan kedua apabila mereka beraksi cemerlang melakar kemenangan terhadap pasangan dari India Khushi Gupta-Mehreen Riza 21-1 21-6.

Hasrat pasukan negara untuk mencatat kemenangan ‘hatrik’ tidak kesampaian apabila Siti Nurshuhaini Azman yang turun sebagai pemain perseorangan kedua negara terpaksa akur kepada lawannya Ashmita Chaliha 11-21, 19-21 untuk kedudukan 2-1.

Beregu kedua negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing memberikan khabar gembira buat pasukan negara apabila aksi bertenaga mereka gagal disekat pasangan India, Arul Radhakrishnan-Nila Valluvan menerusi kutipan mata 21-10 21-12 sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, mata kedua pasukan India disumbangkan Tara Shah selepas pemain itu menewaskan Myisha Mohd Khairul 21-16,21-15.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pasukan wanita negara berjaya menempah slot separuh akhir yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Syazwan Msar (2022) Pasukan wanita ke ke separuh akhir,tempah tiket  Piala Uber, my metro, 16 Februari, Available at :  https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/02/811038/pasukan-wanita-ke-separuh-akhir-tempah-tiket-piala-uber (Accessed : 17 Feb 2022)