Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan kejayaannya disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepada seluruh rakyat Malaysia kerana selama ini menjadi tulang belakang terhadap semua pencapaian diraih.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, beliau terhutang budi kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan buat dirinya selain menyifatkan pencapaiannya di pentas antarabangsa adalah hasil pelaburan yang dibuat negara sehingga membolehkan mencipta nama di peringkat tertinggi.

“Saya sebenarnya terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini kerana bukan semua orang boleh masuk Dewan Kemasyhuran BWF. Memang ada beberapa pemain Malaysia dipilih sebelum ini tetapi ia daripada generasi berbeza, untuk generasi sekarang, saya yang pertama,” kata Chong Wei.

Ujar tiga kali pemenang pingat perak Olimpik itu, ia bukanlah kejayaan beliau seorang tetapi semua rakyat Malaysia.

Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana tiada BAM, tiadalah Chong Wei. Begitu juga kepada penaja saya yang selama ini sentiasa berada di belakang saya tidak kira dalam jua situasi termasuklah ketika saya mengalami situasi paling sukar berdepan dengan kes doping.

“Akhir sekali kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih kepada anda semua. Selama 19 tahun saya bersama skuad kebangsaan, setiap perbelanjaan yang dikeluarkan adalah untuk menjadi saya pemain utama dunia,” kata Chong Wei.

Chong Wei menjadi pemain Malaysia pertama dipilih berada dalam Dewan Kemasyhuran BWF sejak Wong Peng Soon pada 1999.

Pemain Malaysia lain yang turut diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF ialah Eddy Choong (1997), David Choong, Ng Boon Bee, Ong Poh Lim dan Tan Yee Khan (1998).

Semalam, BWF dalam satu kenyataan mengumumkan pemilihan Chong Wei dan musuh tradisinya dari China, Lin Dan untuk diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran badan induk itu.

Majlis pemasyhuran itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 Mei ini.

Chong Wei, 41 dan Lin Dan, 40, yang memulakan kerjaya mereka di peringkat antarabangsa pada awal 2000, menempa nama dalam sukan badminton sehingga masing-masing memutuskan untuk bersara pada 2019 dan 2020.

Beliau yang bersara akibat masalah kesihatan kanser hidung dialaminya meraih 47 gelaran Siri Super/Jelajah Dunia BWF sepanjang 19 tahun penglibatannya dan memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu meraih pingat perak Sukan Olimpik iaitu di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia pada 2011, 2013 dan 2015.

Sementara Lin Dan tiada tandingan pada penyertaan di kejohanan utama dengan dua gelaran jaguh Olimpik dan lima kejohanan dunia.

Ferzalfie Fauzi (2023) Hadiah untuk rakyat Malaysia, my metro, 3 Mei 2022 Available at :  https: https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2023/05/962827/hadiah-untuk-rakyat-malaysia (Accessed : 4 May 2023)